suria

Kedudukan Indeks Rasuah Malaysia Turun Satu Mata

KUALA LUMPUR: Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2016 Transparency International (TI-Malaysia) menurun satu mata.

CPI 2016 menunjukkan Malaysia kini di tangga ke-55 daripada 176 negara dengan 49 daripada 100 mata.

Pada tahun sebelumnya, Malaysia berada pada kedudukan ke-54 daripada 168 negara dan mencatatkan 50 mata.

Presiden TI-Malaysia, Datuk Akhbar Satar berkata, penurunan satu mata tidak terlalu banyak kerana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi kepimpinan baharu telah membuktikan keberkesanannya menangani kes berprofil tinggi tahun lalu.

"Ia telah melaksanakan tugas dengan baik. Serbuan SPRM juga menyaksikan rampasan mencecah jutaan ringgit selain penahanan individu berprofil tinggi," katanya pada sidang media pada Rabu.

Beliau menegaskan, SPRM sepatutnya memberi perhatian terhadap ahli politik yang terlibat dalam rasuah untuk memperbaiki kedudukan CPI negara.

Negara jiran seperti Singapura, Laos dan Myanmar telah memperbaiki kedudukan mereka dalam indeks berkenaan.

Singapura berada pada kedudukan ke-7 dengan 84 mata, Laos pula meningkat kepada 123 berbanding 139 pada 2015, manakala Myanmar pula pada tangga ke-136 berbanding 147 dengan 28 mata.

Datuk Dzulkifli Ahmad dilantik sebagai ketua pesuruhjaya SPRM bagi menggantikan Tan Sri Abu Kassim Mohamed yang menerajui SPRM sejak 2010.

Akhbar Satar, CPI, SPRM

Artikel Lain