suria

Mangsa Culik Di Sabah Warga Filipina

KOTA KINABALU: Polis Sabah mengesahkan tiga kru kapal nelayan yang diculik di perairan Pulau Pom Pom, Semporna malam Sabtu adalah warga Filipina, namun memiliki dokumen IMM13 serta Surat Banci daripada Pasukan Pertugas Khas.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abdul Rashid Harun ketiga-tiga mangsa berkenaan dikenali sebagai Loloi Alpin, 30, Sami, 30-an, dan Masurin, 50-an diculik tujuh lelaki bersenjata api ketika menangkap ikan bersama-sama 13 lagi anak kapal di perairan berkenaan kira-kira 10.40 malam.

"Ketika kejadian kapal nelayan yang dinaiki mangsa didatangi sebuah bot laju yang dinaiki tujuh lelaki bertopeng dan bersenjatakan pistol serta M16.

Enam suspek telah menaiki kapal berkenaan dan mengarahkan semua anak kapal supaya meniarap di lantai... seorang lagi suspek menunggu di dalam bot laju itu.

"Suspek kemudiannya menggeledah kapal nelayan itu, sebelum melarikan beg pakaian, telefon bimbit dan dompet milik beberapa anak kapal nelayan berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kapal nelayan berkenaan telah keluar untuk menangkap ikan di perairan berkenaan pada kira-kira 4 petang Sabtu.

Abdul Rashid berkata polis kini menjalankan siasatan lanjut mengenai penculikan itu dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan. - BERNAMA

Culik, Sabah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain