suria

PRN Mengejut: Amanah Tiada Masalah

Khalid Samad.

PETALING JAYA: Parti Amanah Negara melihat tiada masalah dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk mengadakan pilihan raya negeri (PRN) mengejut.

Bagaimanapun, Ketua Penerangan Amanah, Khalid Samad berkata, sebarang keputusan sama ada untuk mengadakan pilihan raya di negeri itu atau tidak, bukan seharusnya melibatkan sebelah pihak sahaja. 

"Secara peribadi dan prinsip, saya tidak lihat sebarang masalah (pilihan raya mengejut) kerana banyak faktor yang berpihak kepada kita sekiranya pilihan raya diadakan sekarang," katanya pada Selasa.

Salah satu faktor tersebut adalah sokongan popular terhadap Ketua Menteri, Lim Guan Eng walaupun terbabit dalam dakwaan rasuah.

"Kita semua tahu tindakan terhadap Lim bermotifkan politik. Dan kita patut mengambil kesempatan terhadap popularitinya yang semakin meningkat.

"Kemudian kita boleh memastikan bahawa Pulau Pinang terus di bawah Pakatan untuk lima tahun lagi. Kita tak tahu apa strategi Barisan Nasional," katanya. 

Walaupun langkah tersebut mungkin tidak menguntungkan Amanah, Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata, ia merupakan peluang untuk memperkenalkan parti serpihan PAS kepada rakyat Pulau Pinang.

"Walaupun Amanah tidak mempunyai ahli exco kerajaan negeri di Pulau Pinang, tetapi terlibat dalam pilihan raya negeri memberi kebaikan kepada kita kerana ia menjadi peluang kepada kita untuk memberitahu rakyat mengenai parti ini," kata Khalid.

Amanah, Khalid Samad

Artikel Lain