suria

Sindiket Dadah Tumpas, Rampasan Bernilai Hampir RM1 Juta Di Muar

MUAR: Polis mematahkan sindiket dadah di daerah ini selepas menahan empat lelaki warga tempatan dan merampas dadah jenis heroin serta barang kes dengan jumlah keseluruhan hampir RM1 juta dalam serbuan di sebuah rumah di Pagoh Jaya, dekat sini dua hari lepas.

Ketua Polis Daerah Muar ACP Azman Ayob berkata kesemua suspek berumur antara 31 dan 39 tahun itu turut didapati positif dadah jenis syabu dan mempunyai rekod jenayah lampau.

Beliau berkata dalam serbuan 4.45 petang itu, polis merampas heroin seberat hampir 23 kilogram dianggarkan bernilai RM456,300 serta merampas tiga kereta jenis Audi A5, BMW Z4 dan Proton Perdana.

"Selain itu, turut dirampas wang tunai berjumlah RM13,950 dan 12 telefon bimbit," katanya kepada pemberita di sini Isnin.

Katanya hasil pemeriksaan kereta jenis Audi A5 itu, polis menemukan 51 paket plastik lutsinar yang dipercayai mengandungi dadah jenis heroin disembunyikan dalam kereta tersebut.

Azman berkata hasil siasatan awal, polis mendapati keempat-empat suspek yang berasal dari daerah Batu Pahat dan Masai itu, baru saja menyewa rumah tersebut.

Beliau berkata berkata kesemua suspek ditahan reman sehingga 30 Julai ini untuk membantu siasatan.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung mandatori.

Beliau berkata kes tersebut juga disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau hukuman penjara tidak melebihi dua tahun. - BERNAMA

sindiket dadah, Muar

Artikel Lain