suria

Jangan Buat Kenyataan Bodoh Mengenai Tawaran Terhadap Ahmad Said

Ghazali Taib.

KUALA TERENGGANU: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan pegawai kerajaan negeri tidak sepatutnya membuat 'kenyataan bodoh' yang boleh menjejaskan perpaduan Umno dan usaha kerajaan membawa kemajuan di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas, Ghazali Taib berkata isu pelantikan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said sebagai timbalan exco telah diselesaikan.

Beliau berkata kenyataan telah dikeluarkan bagi menjelaskan mengenai tawaran itu selain menangkis dakwaan Ahmad Said bahawa ia bertujuan untuk memalukan beliau.

"Kenyataan tidak berasas mengenai perkara itu tidak sepatutnya dikeluarkan. Kami - menteri besar, ahli exco dan Adun - sedang bekerja untuk memastikan perpaduan di dalam parti dan keharmonian di kalangan rakyat untuk kemajuan negeri ini.

"Isu menteri besar melantik Ahmad Said sebagai timbalan exco tidak perlu dibahaskan.

"Menteri Besar juga berkata beliau menghormati keputusan Ahmad Said untuk tidak menerima pelantikan itu," katanya.

Pada Ahad, bekas Adun Ajil yang juga Pengarah Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM) Datuk Rosol Wahid dan bekas Adun Bukit Besi, Datuk Din Adam berkata Ahmad Said tidak sepatutnya berasa malu mengenai pelantikannya sebagai timbalan exco Terengganu tetapi perlu berbangga dengan pengiktirafan yang diberikan terhadapnya.

Beliau menolak tawaran Menteri Besar Terengganu Ahmad Razif Abd Rahman dengan berkata ia adalah satu percubaan untuk memalukan dan menghina beliau.

Ghazali berkata kenyataan Rosol dan Din adalah tidak wajar.

"Kita perlu bijak dalam pentadbiran negeri dan tidak mencetuskan lebih banyak isu untuk menteri besar," katanya.


Ahmad Said, timbalan exco

Artikel Lain