suria

Enam Taman Laut Sabah Jadi Kawasan Perlindungan Jerung

KOTA KINABALU: Enam taman-taman laut di bawah Taman-Taman Sabah akan diwartakan sebagai kawasan perlindungan jerung dalam usaha melindungi spesies tersebut.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Masidi Manjun membuat pengumuman itu berikutan kes pembunuhan jerung di Pulau Mabu, Sabah baru-baru ini.

Kejadian itu menjadi viral di laman media sosial sekali gus mencetuskan kegemparan di kalangan pengguna Internet.

Beliau berkata langkah pewartaan itu mungkin dapat membantu melindungi populasi jerung di sekitar Sabah kerana kerajaan negeri tidak berupaya mengharamkan pemburuan jerung dan siripnya secara sah.

Namun, beliau berkata pendekatan awal adalah lebih bersifat pendidikan berbanding imperatif.

"Kami mahu mewujudkan pusat perlindungan ikan jerung dengan mendidik rakyat supaya mereka merasakan bahawa mereka mempunyai pemilikan terhadap program ini," kata Masidi.

Beliau menjelaskan bahawa pendidikan lebih penting kerana pada akhirnya, kejayaan atau kegagalan sesuatu program bergantung kepada berapa banyak rakyat merasakan ia kepunyaan mereka.

Masidi berkata beliau mahu penduduk tempatan dan nelayan untuk bersama-sama dengan kerajaan dalam menjayakan inisiatif ini.

"Kami mahu mereka memahami bahawa mereka boleh terus memburu mengikut tradisi dan cara hidup mereka tetapi pada masa sama turut memulihara pelbagai habitat dan hidupan marin akuatik," katanya.



jerung, Taman Laut Sabah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain