suria

Suri Rumah Cedera Ditetak Selepas Disamun

KULIM: Seorang wanita berusia 40-an cedera di pergelangan tangan kanannya selepas ditetak lelaki tidak dikenali dalam kejadian samun di Taman Haruan, Kelang Lama di sini, Ahad.

Kejadian kira-kira 7 pagi itu berlaku ketika mangsa hendak membuka pintu pagar rumah untuk menghantar tiga anak lelaki dan seorang anak perempuannya ke sekolah, sebelum didatangi seorang lelaki yang memakai topi keledar.

Anak lelaki mangsa, Kamarul Ashraf Kamarul Azman, 11, berkata ketika kejadian, dia bersama-sama abang dan kakaknya yang berusia 13 dan 15 tahun berada di dalam kereta sebelum ternampak ibu mereka bergelut dengan lelaki yang meragut beg tangan ibunya.

"Saya dengar ibu menjerit meminta pertolongan dari orang ramai sebelum lelaki terbabit menetak tangan ibu dengan sebilah parang," katanya ketika ditemui hari ini.

Ibunya kemudian dihantar ke Hospital Kulim (HK) bagi mendapatkan rawatan lanjut sebelum membuat laporan polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim Supt Abdullah Arshad ketika dihubungi mengesah menerima laporan itu, dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana samun hingga mendatangkan kecederaan.

Artikel Lain