suria

Sultan Johor Zahir Ucapan Selamat Hari Bapa

KENANGAN... Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail sedang mengucup Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim ketika masih kecil yang berada dalam dakapan Tuanku.

PETALING JAYA: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan ucapan Selamat Hari Bapa bagi menyanjung individu bergelar bapa di atas segala pengorbanan dan ketekunan mereka mencari rezeki untuk keluarga masing-masing.

"Saya juga, sebagai seorang bapa, sangat mengerti bahawa tanggungjawab kita sebagai bapa adalah peranan paling penting dalam kehidupan kita.

"Ini kerana anak-anak kita menjadikan kita, bapa mereka, sebagai contoh, dan gaya mereka mencorakkan kehidupan mereka mencerminkan pengaruh dan perlakuan kita," titah baginda.

Pada masa sama, Sultan Ibrahim turut menyeru agar setiap bapa sentiasa berada di samping anak-anak mereka.

"Semoga anda sentiasa memberi contoh yang baik buat anak-anak anda, dan kekal berada di samping mereka pada ketika mereka amat memerlukan anda.

"Selamat Hari Bapa saya ucapkan kepada semua para bapa sekalian," titahnya.

Menerusi ucapan itu juga, Sultan Ibrahim turut berkongsi empat keping gambar keluarga Diraja Johor di laman Facebook baginda.

Salah satu keping gambar yang dikongsi baginda adalah gambar kenangan bersama Almarhum Ayahandanya, Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail yang sedang mengucup Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim ketika masih kecil yang berada dalam dakapan Tuanku.

Gambar hitam putih itu turut mengembalikan nostalgia buat seluruh bangsa Johor terhadap Almarhum Sultan Iskandar.

Entri terbaharu di laman Facebook Sultan Ibrahim menerima 14,000 likes dan dikongsi sebanyak 1,005 kali.







Artikel Berikut

Artikel Lain