suria

PRK Sungai Besar: 42,365 Pengundi Bakal Tunai Tanggungjawab Esok

SUNGAI BESAR: Seramai 42,365 pengundi bakal menunaikan tanggungjawab memilih pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar, esok.

Sebanyak 28 pusat daerah mengundi akan dibuka bermula pada 8 pagi hingga 5 petang di dua kawasan Dewan Undangan Negeri iaitu Sungai Panjang dan Sekinchan.

Calon Barisan Nasional (BN) yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi, 44, bersama ibu bapanya Mohd Zohdi Abdullah, 72, dan Fatona Saimin, 62, dijangka mengundi pada 8.30 pagi di Sekolah Kebangsaan Sungai Limau, di sini. 

Dua lagi calon iaitu Dr Abdul Rani Osman daripada PAS dan Azhar Abdul Shukur daripada parti Amanah bukan merupakan pengundi berdaftar di kawasan Parlimen berkenaan.

Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Abdul Samad berkata Azhar tidak sempat menukar alamat kerana tidak menyangka akan menjadi calon pada PRK itu.

"Beliau telah membeli rumah di sini dan akan menetap di Sungai Besar untuk membantu penduduk dan penyokong Amanah di sini," katanya kepada Bernama.

Kesemua peti undi kemudian akan dibawa ke pusat penjumlahan undi di Dewan Seri Bernam di sini, dengan keputusan dijangka diketahui seawal pukul 9 malam.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan 75 peratus pemilih keluar mengundi pada pilihan raya kecil itu.

Parlimen Sungai Besar mempunyai 42,655 pemilih berdaftar dengan pengundi biasa seramai 42,365 orang, pengundi awal (286) dan pengundi tidak hadir (empat) kerana berada di luar negara.

Sebanyak 92.6 peratus atau 265 pengundi awal telah menunaikan tanggungjawab mereka pada 14 Jun lepas. 

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Tan Sri Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.-- Bernama

PRK Sungai Besar, SPR

Artikel Lain