suria

Tiga Tukang Urut Ditahan Guna Kad Pengenalan Palsu

PUTRAJAYA: Tiga tukang urut di sebuah pusat refleksologi, di Kangar, Perlis ditahan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana menggunakan kad pengenalan palsu.

Ketua Pengarah JPN Mohd Yazid Ramli berkata mereka yang terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita berusia dalam lingkungan 40-an ditahan dalam 'Ops Terancang JPN' yang dijalankan pada malam Khamis.

"Semasa siasatan dijalankan, kedua-dua tukang urut wanita itu melakukan provokasi terhadap pegawai penguatkuasa dengan cuba bertindak agresif kerana mendakwa mereka memang berasal dari Lahad Datu, Sabah.

Bagaimanapun, siasatan lanjut mendapati mereka mengaku berasal dari Zamboanga, selatan Filipina yang berbangsa Tausug," katanya dalam kenyataan, di sini Jumaat.

Beliau berkata kesemua yang ditahan mendakwa membeli kad pengenalan dariapda ejen di Kota Kinabalu, Sabah dengan harga antara RM300 hingga RM400.

Mohd Yazid ketiga-tiga yang ditahan disiasat di bawah Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) kerana menggunakan kad pengenalan palsu yang boleh membawa hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Katanya kesemua yang ditahan dibawa ke JPN Negeri Perlis untuk proses dokumentasi serta siasatan lanjut dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kangar untuk mendapatkan perintah tahanan reman. - BERNAMA

Artikel Lain