suria

Budak Hidupkan Enjin Kereta, Rempuh Kedai

Sebuah kedai telekomunikasi di Jalan Vistana dirempuh sebuah kereta yang menurut saksi dipandu seorang kanak-kanak. --fotoBERNAMA

ALOR SETAR: Perbuatan dua beradik menghidupkan enjin  kereta milik ibu mereka menyebabkan kenderaan itu merempuh sebuah kedai telekomunikasi di Jalan Vistana di sini, Jumaat.

Kereta itu diletakkan di hadapan kedai berkenaan sejak 2 petang Jumaatsebelum dua budak lelaki itu, yang berusia dalam lingkungan 11 hingga 12 tahun, menghidupkan enjinnya.

Seorang pekerja kedai telekomunikasi itu, Nurul Nadira Abu Hassan, 23, berkata kejadian berlaku kira-kira 3.20 petang apabila beliau dan seorang lagi pekerja sedang melayan pelanggan di situ.

"Kemudian, kami dengar bunyi enjin yang kuat, seperti orang tekan pedal minyak. Selepas itu, kereta tersebut merempuh kedai sehingga mengakibatkan separuh daripada badan kereta berada di dalam kedai," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian. 

Seorang saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Zainuddin, yang berusia dalam lingkungan 40-an, berkata ketika kejadian, beliau berada berdekatan kedai itu sebelum terdengar bunyi dentuman amat kuat.

Sejurus selepas itu, beliau melihat dua budak lelaki yang ketakutan keluar daripada kereta itu sambil memanggil ibu mereka, yang berada di tingkat atas kedai itu kerana dipercayai sedang membuat rawatan muka.

"Ibu mereka kemudian bergegas turun dan terkejut melihat kereta itu sebelum mematikan enjinnya.

"Apa yang kita tahu, ibu mereka meminta anaknya menghidupkan enjin kereta sementara menunggu dia turun...tetapi macam ini pula jadinya," kata Zainuddin..

Pengurus kedai berkenaan Md Shaifon Nizam Ahmad berkata beliau mendapat tahu mengenai kejadian itu kira-kira 3.30 petang daripada pekerja yang menelefonnya.

Kerugian dianggarkan bernilai lebih RM20,000 ekoran kerosakan teruk pada cermin utama dan perabot serta dinding kedai berkenaan, katanya yang menyerahkan kepada polis untuk membuat siasatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Mohd Rozi Jinin berkata kes berlaku apabila pemandu iaitu ibu budak lelaki berkenaan, ingin mengundurkan kenderaan tetapi tertekan pedal minyak.

"Pada masa sama, anak pemandu yang berada di tempat duduk hadapan tertolak gear kenderaan menyebabkan kenderaan itu bergerak ke hadapan dan melanggar pintu kaca dan cermin kedai telekomunikasi terbabit.

"Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan saksi untuk membantu siasatan," katanya. -BERNAMA

rempuh kedai, kereta, Alor Setar

Artikel Berikut

Artikel Lain