suria

Lelaki Menyamar Anggota Tentera Ditahan Bersama Senjata Api Tiruan

MELAKA: Polis Melaka menahan seorang lelaki kerana menyamar sebagai anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan memiliki pelbagai senjata api tiruan pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt A Asmadi Abdul Aziz berkata lelaki berusia 41 tahun itu ditahan dua anggota polis peronda lebuh raya Bukit Aman di kilometer 210 Lebuh raya Utara-Selatan arah utara pada kira-kira jam 3.45 pagi.

Ketika itu lelaki tersebut dalam perjalanan dari Johor ke Kuala Lumpur.

Beliau berkata ketika ditahan lelaki yang bekerja sebagai pemungut syiling syarikat mesin penapis air minuman yang beroperasi di Mount Kiara Kuala Lumpur itu berpakaian lengkap seragam anggota TLDM.

"Lelaki berkenaan ditahan ketika anggota polis peronda melihat van putih yang dipandu suspek dalam keadaan laju dan mencurigakan.

"Siasatan awal mendapati lelaki berkenaan memandu kenderaan milik syarikatnya selepas memungut duit syiling dari mesin penapis air minuman di Johor.

"Apabila ditahan suspek turun dari kenderaan berkenaan tetapi dia tidak dapat mengemukakan identiti yang membuktikannya sebagai anggota TLDM dan suspek juga enggan memberikan kerjasama," katanya kepada pemberita selepas sidang akhbar di Alor Gajah, Rabu.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Alor Gajah DSP Ahmad Mazlan Abd Rahman dan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibupejabat Polis Daerah Alor Gajah ASP Md Maizaili Mohamed.

Mengulas lanjut, A Asmadi berkata hasil siasatan lanjut, anggota peronda berkenaan menemui pelbagai senjata api antaranya senapang dan pistol serta puluru dan satu jaket kalis peluru yang kesemuanya tiruan di dalam van tersebut.

Beliau berkata siasatan awal mendapati lelaki berkenaan mempunyai rekod jenayah lampau kesalahan sama pada 2012 dan telah dijatuhi hukuman penjara enam bulan.

"Lelaki tersebut didapati obses dengan pakaian seragam dan semua senjata tiruan tersebut dibeli secara online dari Hong Kong.

"Kita juga percaya lelaki ini juga terlibat dalam aktiviti penjualan senjata api tiruan berdasarkan bilangan senjata api yang dijumpai," katanya.

Beliau berkata kenderaan syarikat minuman tersebut juga mempunyai pelekat logo TLDM dan ujian saringan urin mendapati lelaki tersebut positif dadah.

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam dan Seksyen 36 Akta Senjata 1960 kerana memiliki senjata tiruan. - BERNAMA
senjata api tiruan, TLDM, PDRM

Artikel Berikut

Artikel Lain