suria

Bekas Saintis Nuklear Calon Pakatan Harapan PRK Kuala Kangsar

Dr Ahmad Termizi Ramli
KUALA KANGSAR: Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar bakal menyaksikan satu persaingan menarik apabila Pakatan Harapan mengumumkan bekas saintis nuklear Dr Ahmad Termizi Ramli sebagai calon.

Pengumuman calon dibuat oleh Presiden Amanah Mohamad Sabu, di sini Khamis.

Dalam ucapannya, Dr Ahmad Termizi, 61, berkata beliau berasa terharu dengan kepercayaan yang ditunjukkan oleh kepimpinan yang memilih dirinya untuk bertanding.

"Ia adalah satu tanggungjawab yang berat tetapi perlu digalas oleh saya dan parti.

"Tiada pilihan, jika tidak negara ini akan bermasalah," katanya yang juga naib ketua Amanah kawasan Kuala Kangsar.

Beliau akan berdepan calon Barisan Nasional (BN), Datin Mastura Mohd Yazid dan Ketua Muslimat PAS Perak Dr Najihatussalehah Ahmad.

Ahmad Termizi, berasal dar Kampung Suak Perai, Manong di sini, mempunyai Ijazah Doktor Falsafah dalam Fizik Perubatan dari University Swansea, Wales.

Beliau, yang merupakan seorang saintis, juga adalah Anggota Jawatankuasa Biro Politik Amanah Perak. 

PRK Kuala Kangsar diadakan berikutan kematian Anggota Parlimennya Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad pada 5 Mei lalu dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak.

Sementara itu, penolong setiausaha Pemuda Umno cawangan Pusat Bandar Taman Cempaka, Selangor, Syed Rosli Syed Harman Jamalullail turut menyatakan hasrat untuk bertanding sebagai calon Bebas.

Dalam ucapannya sebelum pengumuman itu, Mohamad Sabu berkata, Pakatan Harapan akan berjuang sehingga mereka dapat mengambil alih Putrajaya.

"Apabila Malaysia membuat perubahan, rakyat akan mendapat manfaat," katanya.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata calon Amanah secara rasmi akan bertanding di Perak.

"Ia akan menjadi satu pertempuran yang sukar. Tetapi dalam Pakatan Harapan, kami akan berdiri bersama-sama tidak kira betapa sukarnya pertempuran ini," katanya.

Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menggesa rakyat untuk menyokong calon Amanah untuk mengukuhkan suara Pakatan Harapan.

Artikel Lain