suria

Pahlawan Melayu: Nik Abduh Bidas Kritikan 'Buang Tabiat'

Barisan kepimpinan PAS Pusat dan Pemuda PAS mengenakan pakaian umpama Pahlawan Melayu pada majlis perasmikan muktamar sayap parti itu, Selasa.

KOTA BARU: Ketua Pemuda PAS, Nik Abduh Nik Abdul Aziz membidas kritikan yang menyifatkan tindakan beliau dan beberapa pemimpin parti itu berpakaian umpama pahlawan Melayu pada Selasa sebagai 'buang tabiat'.

"Kalau pakai busana Melayu yang secantik itu dikatakan buang tabiat, maka dia memperlekehkan bangsa sendirilah," katanya pada sidang media sempena hari kedua Muktamar Dewan Pemuda PAS di Kelantan Trade Centre  (KTC) di sini, Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kritikan beberapa blog berhubung pemakaian seperti pahlawan Melayu sebagai 'buang tabiat'.

Timbalan Presiden parti, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Ketua Pemuda, Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan timbalannya, Muhammad Khalil Abdul Hadi antara yang berpakaian sedemikian lengkap berkeris dan bertanjak pada perasmian Muktamar Dewan Pemuda PAS pada Selasa.

Ditanya adakah semua anggota Pemuda akan diminta untuk berpakaian seperti itu pada sesi Muktamar akan datang, Nik Abduh berkata: "Akan datang. Kita akan pakai baju lain pula, tengoklah."

Terdahulu, Tuan Ibrahim memperjelaskan bahawa pemakaian seperti pahlawan Melayu itu bukan gambaran PAS memperjuangkan bangsa tetapi menegaskan ia kekal memperjuangkan agama.

"Kita terima semua bangsa sebagai ketentuan Allah. Melayu, Cina dan India bukan kita yang tentukan tetapi Allah yang tentukan.

"Saya pakai ini kebetulan saya orang Melayu. Kalau orang (bangsa) lain, mungkin dia akan pakai lain. Bagi kita, ini adalah keunikan budaya kita.

"Sebab itu kita tidak cabut keris, tidak cium keris dan kita tidak menujukan keris kepada sesiapa. Pakai ini lengkap sebab ada keris," tegas Tuan Ibrahim.

Artikel Lain