suria

Polis Siasat Kes Tumpahan Merkuri Di Tasek Gelugor

GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang akan menyiasat punca tumpahan cecair merkuri hingga menyebabkan beberapa rumah dan kelas sebuah sekolah di Tasek Gelugor terdedah kepada bahan kimia itu baru-baru ini.

Ketua Polis negeri Datuk Abdul Ghafar Rajab berkata walaupun merkuri adalah bahan yang agak berbahaya kepada kesihatan, ia mudah didapati dan tidak tergolong dalam kategori bahan letupan.

"Merkuri bukanlah bahan hakisan atau letupan dan ia boleh dibeli (dengan mudah)," katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan dan Ikrar Bulanan Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini, Rabu.

Dalam kejadian Sabtu lepas, 15 penduduk di Jalan Padang Menora, Kampung Baru di Tasek Gelugor dihantar ke hospital untuk pemeriksaan kerana dikhuatiri terdedah kepada cecair merkuri.

Sebelum itu pada 26 Mei, 56 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Guar Perahu, Bukit Mertajam turut dikuarantin selepas berlaku tumpahan merkuri di kelas mereka.

Dalam perkembangan lain, polis menahan seorang kakitangan awam yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang kerana dipercayai terbabit dengan kes ragut di kawasan Bandar Baru Air Itam, di sini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalatrash Wahid berkata dalam kejadian pukul 6 pagi Selasa lepas, suspek dipercayai meragut beg tangan mangsa yang berumur 42 tahun sehingga menyebabkan mangsa cedera ringan.

"Polis yang sedang menjalankan rondaan menahan suspek yang berusia 28 tahun itu sejurus selepas kejadian dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana samun hingga mendatangkan cedera," katanya.

Beliau berkata, suspek turut didapati positif dadah jenis methaphetamine, namun tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Katanya polis juga sudah mengenal pasti dan sedang memburu rakan suspek yang disyaki terlibat dalam kes tersebut, yang melarikan diri dengan menaiki motosikal.

Artikel Lain