suria

Peniaga Telefon Bimbit Parah Ditetak, Suspek Menyamar Pembeli

Gambar hiasan.

SEREMBAN: Seorang peniaga telefon bimbit parah akibat ditetak di kepala oleh dua lelaki yang menyamar sebagai pelanggan, dalam kejadian di sebuah premis di Bandar Port Dickson, dekat sini, Sabtu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supt Adzli Abu Shah berkata, dalam kejadian 2.30 petang itu, mangsa berusia 24 tahun itu tercedera selepas bertindak merampas semula beg sandang miliknya yang cuba dilarikan suspek. 

"Semasa kejadian mangsa bersama adiknya di dalam premis berkenaan... suspek telah datang ke kedai dan menyamar untuk membeli telefon bimbit.

"Suspek kemudiannya mengambil beg sandang mangsa yang diletakkan di atas meja cashier dan mangsa bertindak merampasnya semula. Akibat tindakan itu, mangsa ditetak di bahagian kepala di atas telinga kanan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Sabtu. 

Adzli berkata, bagaimanapun beg itu berjaya dilarikan suspek selepas menetak mangsa.

"Mangsa berada dalam keadaan stabil dan kini dirawat di Hospital Tuanku Jaafar memandangkan kesan luka yang dialami agak dalam," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu samun mendatangkan kecederaan. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain