suria

Kru Pelantar Minyak Lapor Kemungkinan Serangan Lanun Di Perairan Sabah

PETALING JAYA: Sebuah kapal bekalan minyak dan gas mengeluarkan amaran mengenai kemungkinan lanun berada berhampiran dengan pelantar minyak, kira-kira 120 kilometer barat laut Labuan, Sabah.

Bagaimanapun, pegawai penguatkuasaan Malaysia masih belum menemui sebarang aktiviti mencurigakan di kawasan itu selepas anak kapal MV Armada Tuah menghantar isyarat amaran melihat empat bot kecil mengekori mereka selepas meninggalkan pelantar minyak di perairan Kikeh, Sabah pada kira-kira pukul 11 pagi Khamis.

Sekeping gambar bot, dikatakan diekori tiga bot, telah tersebar di media sosial sejak Isnin lalu.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasan Maritim Malaysia (APMM), Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar ketika dihubungi The Star Online mengesahkan mereka menerima laporan berhubung insiden seperti yang dikatakan.

"Kita telah menghantar kapal kita untuk membuat pemeriksaan dan setakat ini kita masih memantau siapa mereka (bot-bot berkenaan)," katanya.

Beliau berkata, tiada sebab untuk dibimbangkan kerana semua dalam keadaan baik dan kapal bekalan itu telah diiring pulang ke Labuan.

Mengenai identiti individu yang dilihat anak kapal, Ahmad Puzi berkata, mereka telah memeriksa kawasan berkenaan dan "tidak melihat apa-apa".

"Biar kami lakukan tugas kami, jangan membuat kesimpulan," tambahnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain