suria

Warga Iran Ditahan Miliki Lapan Batang Pokok Disyaki Ganja

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh memberi penerangan mengenai lapan pokok ganja milik lelaki warga Iran yang dirampas Rabu lalu di sebuah kondominium di Cheras, pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Jumaat. -fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki warga Iran berumur 33 tahun yang menanam lapan batang pokok disyaki ganja di sebuah kondominium di Cheras, Rabu lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata polis menahan suspek dalam serbuan pada 6.40 petang selepas mendapat maklumat daripada orang awam.

"Ini merupakan kes pertama dikenal pasti di ibu negara dan hasil pemeriksaan polis menemui pokok berdaun hijau pada ketinggian kira-kira 0.2 ke 1.3 meter di balkoni kediamannya.

"Hasil siasatan awal mendapati suspek merupakan pelajar jurusan Diploma Perubatan dari Iran yang menetap di negara ini selama dua tahun dan disyaki membawa masuk biji benih dari negaranya sejak tiga bulan lalu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur (IPK) KL di sini, Jumaat.

Beliau berkata suspek ditahan reman selama dua hari bermula semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 6 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah.

Dalam serbuan berasingan di sebuah apartmen di Bukit Ceylon di sini, polis menahan dua lelaki warga tempatan serta seorang wanita warga Indonesia berumur lingkungan 24 hingga 25 tahun yang dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.

Ketiga-tiga suspek dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah di sekitar ibu negara sejak tiga bulan lepas.

"Dalam serbuan pada 5.30 petang itu, polis turut merampas lapan paket besar dan enam paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis syabu seberat 3.37 kilogram.

"Selain itu, turut dirampas sepucuk pistol jenis CZ Rami P9C19 dan 40 butir peluru hidup dengan jumlah rampasan dianggarkan bernilai RM430,000," katanya.

Berikutan itu, polis juga menyita wang tunai dan harta kesemua suspek yang dianggarkan bernilai RM599,000 serta tiga buah kereta mewah.

Beliau berkata, kesemua suspek tidak bekerja dan direman selama tujuh hari bermula semalam sehingga Rabu depan.

Amar Singh berkata dengan penahanan mereka pihaknya yakin telah berjaya  menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah jenis syabu yang beroperasi di Bukit Bintang.

Dalam sepanjang tahun ini (tempoh Januari hingga 28 April), 7,890 individu telah ditahan di sekitar Kuala Lumpur kerana terlibat kes dadah dengan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM9.27 juta.

Artikel Lain