suria

PRN Sarawak: PKR Langgar Janji?

KETIKA Barisan Nasional (BN) sudah menyediakan semua 82 calonnya untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak 7 Mei ini, pembangkang masih tercari-cari jalan keluar dalam konflik perebutan kerusi.

Malah tidak mustahil sehingga selepas proses penamaan calon berakhir pada pukul 10 pagi Isnin, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP bakal bertembung sesama sendiri di lebih daripada satu atau sehingga lima kerusi.

Berbaki beberapa jam menjelang hari penamaan calon, Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen mendedahkan nota perjanjian bertulis tangan yang didakwa dimeterai antara Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Menerusi imej nota bertarikh 7 April lalu yang didedahkan kepada media melalui telefon bimbit Chieng Jen, ia bagaimanapun hanya mengandungi satu tandatangan beserta tulisan “secara prinsip bersetuju".

Nota menggunakan kepala surat Ahli Dewan Rakyat Parlimen Malaysia itu mencatatkan senarai lima kerusi yang didakwa dipersetujui untuk ditandingi PKR iaitu Batu Kitang, Marudi, Machan, Layar dan Belaga.

Manakala kawasan yang dicatatkan akan ditandingi DAP ialah Senadin, Mulu, Tasik Biru, Simanggang, Mambong, Bukit Semuja, Ngemah dan Murum.

Bagaimanapun konflik berlaku apabila difahamkan PKR turut berminat untuk meletakkan calon mereka di sekurang-kurangnya tiga kerusi yang sudah diumumkan bakal ditandingi DAP.

Kerusi berkenaan ialah Tasik Biru, Kadup dan Bukit Semuja - kesemuanya adalah kerusi luar bandar.

DUN Tasik Biru dan Bukit Semuja dicatatkan dalam senarai yang didakwa dipersetujui bakal ditandingi DAP dalam nota tersebut.

Hasrat PKR yang bertegas mahu meletakkan calon mereka di kerusi berkenaan akhirnya membawa kepada ugutan DAP untuk ‘merampas’ kerusi Batu Kitang walaupun ianya sudah dipersetujui bakal ditandingi PKR.

Chieng Jen yang akan mempertahankan kerusi DUN Bukit Sentosa berkata, keputusan itu terpaksa dibuat jika PKR meneruskan hasrat bertanding di kerusi luar bandar yang akan ditandingi DAP.


PRN Sarawak, PKR, DAP, Chong Chieng Jen

Artikel Sebelum

Artikel Lain