suria

Penganggur Didenda RM5,000 Beri Keterangan Palsu

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin selepas mengaku bersalah memberi keterangan palsu ketika perbicaraan satu kes rasuah di mahkamah.

Hakim Mohd Nasir Nordin turut memerintahkan K. Manimaran, 26, berasal dari Kuala Lumpur yang telah dibuang daerah ke Pulau Pinang kerana terlibat dalam kes jenayah lain, dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

"Jangan ulangi kesalahan ini kerana kesalahan ini adalah serius, namun mahkamah turut mempertimbangkan pengakuan bersalah yang dibuat oleh tertuduh selain meneliti fakta kes dan eksibit yang diakui sah," kata Mohd Nasir sebelum menjatuhkan hukuman.

Manimaran didakwa memberi keterangan palsu ketika perbicaraan kes di Mahkamah Sesyen Jenayah 14, di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta, di sini, pada 9 Julai 2015 mengikut Seksyen 27(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda RM100,000 atau kedua-duanya.

Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Mohd Bukhari Wan Mohd memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira faktor kepentingan awam supaya dapat memberi pengajaran kepada tertuduh.

Manimaran yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan atas alasan perlu menjaga ibunya selain belum mempunyai pekerjaan yang tetap. - BERNAMA

penganggur, denda

Artikel Berikut

Artikel Lain