suria

BN Yakin Tawan Semula Kerusi Tewas - Abang Johari

Abang Johari Tun Openg.

KUCHING: Barisan Nasional (BN) Sarawak yakin dapat menawan semula kerusi yang tewas semasa pilihan raya negeri (PRN) 2011, pada PRN ke-11, bulan depan.

Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata ini boleh dicapai melalui perpaduan yang kukuh dalam kalangan penyokong terutama pengundi masyarakat Cina.

"Kita tewas kerusi di kawasan bandar sebelum ini (semasa pilihan raya lepas) kerana perbalahan dalaman antara kita dan bukan disebabkan mereka (pembangkang) kuat.

"Saya yakin bahawa jika masyarakat Cina bersatu, kita boleh memenangi semula kerusi di kawasan bandar," katanya kepada pemberita selepas melancarkan papan iklan diod pancaran cahaya (LED) pelancongan Sarawak dan melakukan tinjauan mesra di Satok, di sini malam Sabtu.

Terdahulu, Abang Johari berkata pemasangan papan iklan LED itu adalah untuk menggalakkan aktiviti pelancongan dan program yang direncanakan oleh kerajaan negeri.

Ketika PRN-10 pada 2011, BN memenangi 55 daripada 71 kerusi yang dipertandingkan, manakala DAP menguasai 12 kerusi, PKR (tiga) dan satu oleh calon Bebas.

Pada pilihan raya kali ini menyaksikan 82 kerusi dipertandingkan termasuk 11 kerusi baharu berikutan persempadanan semula kawasan. - BERNAMA

BN, PRN Sarawak

Artikel Lain