suria

Ikut Langkah Safiey Kembali Ke Pangkal Jalan - Jamil Khir

Safiey Ilias. Foto youtube Aminuddin Murad

YAN: Golongan transgender atau mak nyah perlu mengikuti jejak langkah Safiey Ilias yang kembali ke pangkal jalan untuk menjadi lelaki semula, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata, tindakan Safiey itu atau nama sebenarnya Saifuddin Illias, 22, merupakan usaha yang baik dan perlu dicontohi golongan transgender yang jauh tersimpang daripada ajaran Islam.

"Safiey sebelum ini jauh tersimpang dari ajaran Islam. Mendapat hidayah dan kembali menjadi seorang lelaki yang berpegang kepada agama," katanya pada majlis kenduri dan penerangan mengenai maqasid syariah di Guar Chempedak dekat sini, Sabtu.

Safiey yang merupakan jutawan kosmetik dilapor mengambil langkah tersebut minggu lepas.

Jamil Khir berkata, semua pihak seperti Majlis Agama Islam Negeri dan pertubuhan bukan kerajaan perlu mengambil inisiatif dengan menyedarkan golongan transgender untuk kembali ke pangkal jalan dan berpegang kepada ajaran Islam.

"Bukan soal penangkapan mak nyah sahaja, tetapi kita perlu cari jalan untuk kembalikan mereka ini menjadi seorang Muslim agar mereka tidak terus terpesong dan berada dalam kesesatan buat selama-lamanya," katanya.

Mengenai pampasan kepada jemaah Malaysia yang cedera dan terbunuh dalam kejadian kren tumbang di Masjidil Haram, Makkah pada September tahun lepas, beliau berkata, pihaknya tidak menerima sebarang maklumat terbaharu mengenai pampasan tersebut.

Bagaimanapun pihaknya sentiasa berhubung dengan kerajaan Arab Saudi berhubung perkara itu, katanya. - Bernama

Safiey Ilias, mak nyah, transgender

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain