suria

Kerani Syarikat Insurans Didakwa Pecah Amanah Lebih RM500,000

KUALA LUMPUR: Seorang kerani di sebuah syarikat insurans mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan pecah amanah melibatkan 19 invois tuntutan bayaran bernilai lebih setengah juta ringgit.

N. Kogilavani, 38, didakwa sebagai seorang yang diamanahkan untuk menguruskan tuntutan bayaran kerja pembersihan bagi syarikat itu, telah melakukan pecah amanah melibatkan 19 invois tuntutan bayaran bernilai RM570,000.

Ibu tiga anak itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di Tingkat 17, Tower C, Dataran Maybank, No. 1 Jalan Maarof, Brickfields di sini, antara 7 September 2010 dan 28 Jun 2012.

Dia didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya S. Malini Anne tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh atas alasan pertuduhan di bawah seksyen itu tidak membenarkan sebarang jaminan dan dikhuatiri tertuduh akan menganggu saksi pendakwaan jika mahkamah membenarkannya diikat jamin.

Namun, peguam R. Balamurali yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mempertimbangkan jaminan dengan alasan wanita itu perlu menjaga tiga orang anaknya termasuk seorang bayi yang berusia lapan bulan selain perlu menyara ibu bapanya.

Hakim Mat Ghani Abdullah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 April ini untuk pengurusan kes dan tiga hari untuk perbicaraan kes itu bermula 7 Jun depan.-- Bernama 


Artikel Lain