suria

Rahim Mohon Gugur Kes Hasutan

SHAH ALAM: Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik yang didakwa atas tuduhan menghasut menerusi laman Facebook berkaitan status agama Raja Muda Selangor memohon supaya kesnya digugurkan.

Peguambela bekas Ketua Menteri Melaka itu, Wan Azmir Wan Majid berkata, dokumen berkaitan sudah difailkan ke Pejabat Peguam Negara.

"Surat berkenaan sudah dihantar pada 17 Disember," katanya kepada pemberita selepas sesi sebutan kes itu di Mahkamah Sesyen di sini, Rabu.

Wan Azmir berkata, Rahim meminta supaya pendakwaan itu ditarik balik kerana niatnya bukan untuk menghasut.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Nik Suhaimi Nik Sulaiman memberitahu Hakim Mahkamah Sesyen, Slamat Yahya bahawa pihaknya telah menerima surat berkenaan dan meminta masa untuk memutuskan permohonan itu.

Hakim menetapkan 1 Mac ini supaya Pejabat Peguam Negara memaklumkan keputusan permohonan itu.

Abdul Rahim, 65 yang hadir di mahkamah didakwa pada 5 Oktober lalu kerana menyebarkan khabar angin bahawa Raja Muda Selangor telah menganut Kristian.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948.

Beliau juga mengaku tidak bersalah untuk dakwaan alternatif mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana membuat kenyataan palsu menerusi aplikasi laman web.




Artikel Sebelum

Artikel Lain