suria

Peruntukan Bagasi Daftar Masuk MAS Kembali Seperti Asal

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines (MAS) mengesahkan peruntukan bagasi daftar masuk kembali seperti asal untuk kesemua penerbangan dalam rangkaiannya termasuk perkhidmatan ke Amsterdam, London dan Paris.

Syarikat penerbangan itu dalam kenyataan, Rabu berkata, berdasarkan penilaian risiko semasa yang dilakukan pada asas harian, membolehkan syarikat penerbangan itu mengambil laluan yang lebih pendek untuk penerbangan ke Eropah.

"Malaysia Airlines mengutamakan keselamatan dalam operasinya, dan tidak akan teragak-agak untuk menyelaraskan laluan penerbangan berasaskan penilaian risiko harian," katanya.

Semalam, syarikat penerbangan itu mengehadkan sementara peruntukan bagasi daftar masuk bagi penerbangan Kuala Lumpur-Eropah disebabkan laluan yang lebih jauh ke Eropah, selain kelajuan angin yang kuat, yang mengehadkan keupayaannya untuk membawa bagasi dan kargo.

Bagasi daftar masuk yang terkandas, kini dihantar kepada pelanggan yang terlibat di Eropah.

MAS berkata, angin berkelajuan tinggi sejak empat hari lepas melepasi 200 knot yang boleh menambah 15 peratus pembakaran bahan api pesawat B777-200.-- Bernama


MAS, bagasi, Paris, kargo

Artikel Berikut

Artikel Lain