suria

Warga Indonesia Didakwa Miliki Bahan Berkaitan Pengganas

PONTIAN: Seorang lelaki warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, Selasa atas pertuduhan memiliki bahan mempunyai kaitan dengan perbuatan pengganas awal bulan ini.

Ihsan, 31, didakwa memiliki sebuah telefon bimbit yang mengandungi bahan berkaitan kumpulan pengganas IS iaitu 196 imej dan 200 video berunsur kumpulan pengganas dan perbuatan pengganas IS.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Kampung Parit Abdul Rahman, Benut, dekat sini, pada 12.05 tengah hari, 1 Disember lepas mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda dan boleh dilucutkan hak terhadap mana-mana barangan tersebut jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang bekerja sebagai mekanik dan tidak diwakili peguam selepas pertuduhan dibacakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suhaili Sapun di hadapan Majistret Azlan Bohari.

Mahkamah menetapkan 28 Januari depan untuk sebutan semula kes. - Bernama

Artikel Lain