suria

Saravanan Fail Saman Terhadap Palanivel Dan Dua Lagi

G.Palanivel.

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M.Saravanan menyaman bekas presiden MIC Datuk Seri G.Palanivel dan dua lagi atas dakwaan memfitnahnya berhubung dana Yayasan Tindakan Gerakan Affirmatif Baru (NAAM).

Saravanan memfailkan saman itu pada 30 Julai lepas di Mahkamah Tinggi Sivil melalui Tetuan Lewis  and  Co dan menamakan Palanivel, City Team Media Sdn Bhd iaitu syarikat penerbitan akhbar harian Tamil Malar dan Twinstar Synergy Sdn Bhd iaitu pencetak akhbar itu sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Dalam pernyataan tuntutannya, Saravanan mendakwa Palanivel pada Jun lepas, telah secara niat jahat, salah dan cuai telah mengeluarkan dan menerbitkan kata-kata tidak benar dan palsu yang kemudiannya diterbitkan di akhbar Tamil Malar pada 21 Jun lepas.

Beliau mendakwa perkataan-perkataan yang diterbitkan itu antara lain bermaksud plaintif telah menyalahgunakan dana NAAM untuk kepentingannya sendiri, telah gagal melaksanakan tugas-tugasnya kepada masyarakat India terutamanya dan tidak layak memegang jawatan pengerusi NAAM.

Saravanan, yang juga anggota Parlimen Tapah mendakwa penerbitan itu telah mencederakan reputasi dan kredibilitinya dan plaintif telah dibawa ke skandal awam serta kebencian dan penghinaan umum.

Beliau menuntut ganti rugi am, khas, teladan dan terlampau, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Mahkamah menetapkan 7 Disember untuk pengurusan kes di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab. - BERNAMA

M.Saravanan, saman, G.Palanivel

Artikel Sebelum

Artikel Lain