suria

"Saya Jalankan Tugas YDP MAIPP Hingga Tamat Tempoh" - Salleh Man

Salleh Man

BUKIT MERTAJAM: Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP), Datuk Mohd Salleh Man akan terus memegang jawatan yang disandangnya itu sehingga tempoh perkhidmatannya tamat Disember ini.

Ahli PAS yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir itu berkata tidak timbul isu beliau perlu mengosongkan jawatan berkenaan seperti desakan pihak tertentu kerana pelantikannya adalah atas perkenan Yang di-Pertuan Agong.

"Sebelum ini saya hanya mendiamkan diri dan tidak menjawab desakan pihak tertentu yang mahu saya mengosongkan jawatan itu kerana saya tidak mahu memanjangkan isu.

"Mereka mendesak saya kosongkan jawatan tetapi ada pihak lain minta saya kekal di situ.

"Jadi hari ini saya ingin jelaskan yang saya akan terus menjalankan tugas ini sehingga tempoh jawatan saya berakhir," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Bulan Berzakat dan Kempen Zakat di Bas Rapid Penang di sini, Khamis.

Mengenai sama ada khidmatnya untuk jawatan itu disambung atau tidak, Mohd Salleh berkata ia terpulang kepada keputusan kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan DAP dan perkenan Yang di-Pertuan Agong.

September lepas, Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita Keadilan Pulau Pinang mahu Mohd Salleh mengosongkan jawatan itu kerana PAS tidak lagi bersama dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Pelantikan Yang Dipertua MAIPP untuk tempoh dua tahun setiap penggal ditentukan Yang di-Pertuan Agong selepas cadangan calon dikemukakan kerajaan negeri.

Sementara itu, dalam perkembanga lain Mohd Salleh berkata MAIPP yakin dapat mencapai sasaran kutipan zakat sebanyak RM90 juta tahun ini berbanding RM82 juta tahun lepas.

Sehingga semalam, Zakat Pulau Pinang (ZPP) telah mengutip RM60 juta dan ia melebihi sasaran awal RM55 juta yang ditetapkan, katanya.

Beliau berkata ZPP menggunakan perkhidmatan iklan di lapan bas Rapid Penang sepanjang tempoh tiga bulan bermula Oktober hingga Disember ini bagi meningkatkan kefahaman dan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan berzakat.

Salleh Man

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain