suria

Nasharudin CEO Baharu Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global

Nasharudin Mat Isa.

PETALING JAYA: Bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) yang baharu bagi menggantikan Datuk Saifuddin Abdullah.

Nasharuddin, yang merupakan Pengerusi Yayasan Nassar adalah graduan Perundangan Islam dari Universiti Jordan dan mempunyai Ijazah Sarjana Undang-Undang Perbandingan di Malaysia.

"Dengan perlantikan Nasharuddin, GMM yakin untuk meneruskan usahanya bagi memperkukuhkan amalan dan hubungan kesederhanaan dalam konteks di dalam dan luar negara.

"Yayasan akan bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan berkaitan dalam merealisasikan fungsi Deklarasi Langkawi tentang Gerakan Kesederhanaan Global," kata Pengerusi GMM, Tan Sri Razali Ismail dalam satu kenyataan pada Rabu.

Saifuddin meletakkan jawatannya dalam GMFM selepas menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 15 Oktober lalu.

Sebelum menceburi dunia politik sepenuh masa, Nasharuddin pernah menjadi pensyarah undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 1997 dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi pada 1999.

Nasharuddin merupakan Ahli Parlimen Yan dari 1999 sehingga 2004 dan Ahli Parlimen Bachok dari 2006 sehingga 2013.

Dalam PAS, beliau pernah menjadi setiausaha agung parti dari 1999 sehingga 2004 dan timbalan presiden dari 2005 sehingga 2011.

Artikel Lain