suria

Tak Guna Meter, Caj Berlebihan Aduan Tertinggi Penumpang Teksi

PETALING JAYA: Pemandu yang tidak menggunakan meter, mengenakan caj berlebihan dan menggunakan meter yang diubah suai merupakan antara rungutan tertinggi di kalangan penumpang teksi di Malaysia.

Kira-kira 72.2 peratus penumpang memberikan maklum balas negatif terhadap perkhidmatan teksi, dengan kebanyakannya atau 30.3 peratus mengadu mengenai meter dan caj berlebihan.

Ia berdasarkan maklum balas daripada 611 penumpang yang menggunakan aplikasi mudah alih untuk perkhidmatan teksi, MeterOn antara 24 Mac dan 2 September lalu.

Aduan lain yang sering dikemukakan pengguna ialah sikap pemandu dengan 26.8 peratus komen. Sikap pemandu itu termasuk keengganan mereka untuk mengambil dan menghantar penumpang ke kawasan tertentu.

Antara aduan lain ialah kad pemandu yang tamat tempoh, menggunakan laluan lebih jauh dan gagal untuk memaparkan kad pemandu.

Aplikasi yang dilancarkan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) itu menyediakan platform kepada penumpang untuk menyuarakan pandangan dan pendapat mereka terhadap pemandu yang melakukan kesalahan.

Ia turut membantu kepada tindakan penguatkuasaan SPAD terhadap pemandu bermasalah dan perkhidmatan tidak memuaskan.

Selain itu, penumpang juga boleh membuat penilaian kepada pemandu, dengan kiraan "lima bintang" untuk pemandu terbaik sebagai penghargaan ke atas mereka kerana perkhidmatan yang amat memuaskan.

Daripada maklum balas yang diberikan dalam MeterOn, 27.8 peratus penumpang memberikan komen positif mengenai perkhidmatan pemandu teksi.

Walaupun seramai 19,503 pengguna telah memuat turun aplikasi berkenaan setakat 2 September lalu namun masih ramai tidak tampil memberikan maklum balas mereka.

Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar berharap penumpang akan memainkan peranan mereka sebagai "mata dan telinga" bagi suruhanjaya itu dengan memberikan maklum balas mengenai pemandu teksi yang melakukan kesalahan.

"SPAD tidak berupaya atau anggota untuk memantau industri ini 24 jam sehari.

"Sekarang kita telah memperkenalkan MeterOn, kita harap dapat mewujudkan budaya baharu di mana penumpang boleh memainkan peranan mereka untuk mempertingkatkan kualiti industri," katanya.

Aplikasi MeterOn yang boleh dimuat turun secara percuma di Google Play dan iTunes, turut membantu orang ramai untuk memeriksa dan mengesahkan status pemandu teksi sebelum memulakan perjalanan.

Terdapat enam ciri utama pada aplikasi itu iaitu pengesahan pemandu, pengesan perjalanan, anggaran tambang, penilaian pemandu, amaran SOS dan maklum balas atau membuat laporan.

Berdasarkan maklum balas dari MeterOn, SPAD telah mengeluarkan surat amaran kepada 411 pemandu berhubung aduan membabitkan sikap dan perkhidmatan manakala 187 kes dirujuk kepada bahagian penguatkuasaan untuk siasatan lanjut.

Bagaimanapun bagi kes tertentu, SPAD tidak dapat mengambil tindakan kerana sesetengah aduan tidak lengkap atau tidak mempunyai maklumat lengkap.

Pada masa sama, SPAD turut mengenal pasti pemandu yang mendapatkan maklum balas dan penilaian yang baik daripada penumpang.

"Menerusi aplikasi MeterOn, kita memberi pengiktirafan kepada mereka yang menerima penilaian baik dan konsisten daripada penumpang," kata Syed Hamid.

MeterOn, SPAD, teksi, Syed Hamid Albar

Artikel Berikut

Artikel Lain