suria

Morais: Bengkel Kereta Milik Seorang Daripada Suspek

KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan bengkel kereta yang dipercayai tempat mendiang Anthony Kevin Morais yang juga merupakan Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan, Jabatan Peguam Negara, disembunyikan sebelum dibunuh adalah milik seorang daripada lima suspek yang ditahan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajuddin Md Isa berkata bengkel yang terletak di USJ 3, Subang Jaya itu merupakan antara tempat yang disiasat oleh pihaknya memandangkan ia terletak tidak jauh dari lokasi mangsa ditemui.

"Ia (bengkel) milik seorang daripada suspek...maklumat lain masih dalam siasatan dan tidak boleh didedahkan.

"Saya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil bagi membantu siasatan berhubung kes ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Operasi Total Enforcement Pilot Project di Brickfields di sini, Jumaat.

Majlis berkenaan dirasmikan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani.

Mayat Kevin Morais ditemui dalam tong berisi konkrit di Subang Jaya dekat sini pada Rabu lalu, selepas seorang daripada suspek membawa polis ke lokasi tong itu dibuang di Taman Perumahan USJ 1, Persiaran Subang Mewah.

Morais, 55, kali terakhir dilihat meninggalkan pangsapurinya di Menara Duta, di sini pada 4 Sept untuk ke pejabatnya di Putrajaya dengan memandu kereta Proton Perdana berwarna kelabu dengan nombor pendaftaran WA6264Q.

Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai insiden kekecohan di hadapan pintu gerbang Jalan Petaling di sini Rabu lepas, Tajuddin berkata pihaknya kini sedang meneliti rakaman insiden serta mengenal pasti kesalahan yang dilakukan oleh mereka yang terlibat.

"Kita akan buka kertas siasatan bagi mana-mana kesalahan yang telah dikenal pasti, buat masa ini beri ruang untuk kita siasat perkara ini dan kita perlu sedikit masa," katanya.

Insiden kekecohan itu berlaku apabila sekumpulan peserta yang didakwa daripada Himpunan Rakyat Bersatu dikatakan cuba merempuh kawasan perniagaan di Jalan Petaling sehingga pasukan Polis Simpanan Persekutuan (FRU) terpaksa melepaskan tembakan meriam air bagi menyuraikan mereka.

Perhimpunan itu dianjurkan sebagai reaksi terhadap perhimpunan Bersih 4 di kawasan sekitar Dataran Merdeka di sini pada 29 dan 30 Ogos lepas.
Kevin Morais

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain