suria

Jawatankuasa Khas Ditubuh Bantu Cari Murid Hilang Di Gua Musang

PUTRAJAYA: Satu Jawatankuasa Khas ditubuhkan bagi membantu usaha mencari dan menyelamat tujuh murid Orang Asli dari asrama Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi, Gua Musang, Kelantan yang hilang sejak Ahad lepas.

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Khair Mohamad Yusof berkata jawatankuasa khas itu, yang dipengerusikan Pegawai Pendidikan Dearah Gua Musang Muhammad Zahari Othman, turut melibatkan pegawai Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Gua Musang, guru-guru SK Tohoi, polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.

Jawatankuasa khas itu juga akan memantau dan menentukan tindakan yang perlu diambil sehingga semua murid berkenaan ditemui.

"Usaha mencari dan menyelamat turut melibatkan bantuan masyarakat kampung dan ibu bapa murid-murid berkenaan masih berusaha mengesan serta mencari mereka di kawasan itu," katanya dalam kenyataan di sini, Jumaat.

Khair berkata satu bilik gerakan juga disediakan di PPD Gua Musang bagi menyelaras gerak kerja mencari dan menyelamat bersama-sama semua agensi terlibat.

"JPN Kelantan dan PPD Gua Musang telah diarah untuk mengambil semua tindakan perlu dan wajar sehingga kesemua pelajar berkenaan ditemui," katanya.

Menurutnya kementerian amat bimbang tentang keselamatan murid-murid berkenaan memandangkan mereka masih kecil.

Tujuh murid berkenaan iaitu enam perempuan dan seorang lelaki yang berusia antara tujuh dan 11 tahun, berasal dari Kampung Pos Tohoi, Gawing, Penat, Sedal, Simpol, Jadil dan Langsat.

Laporan media menyatakn semua murid berkenaan melarikan diri ke dalam hutan kerana takut dikenakan tindakan oleh guru selepas mereka mandi di sungai berhampiran sekolah itu tanpa kebenaran.

Seorang guru sekolah itu membuat laporan polis mengenai kehilangan murid berkenaan pada 2.25 pagi pada Selasa lepas.

Gua Musang, Orang Asli

Artikel Lain