suria

Komuter Utara: SPAD Pertimbang Kemampuan Perkhidmatan Sebelum Lulus Operasi

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) masih meneliti beberapa perkara penting termasuk kemampuan perkhidmatan sebelum membenarkan Komuter Utara Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memulakan operasinya.

Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, selain aspek keselamatan, SPAD turut memandang berat isu kemampuan KTMB untuk menyediakan perkhidmatan itu dengan set tren yang mencukupi. 

"Setakat ini, KTMB telah menyerahkan pelbagai dokumen dan keperluan operasi bagi kelulusan SPAD dan kita juga telah memohon maklumat tambahan berhubung pengoperasian perkhidmatan seperti penyediaan set keretapi yang mencukupi.

"Ini kerana SPAD tidak mahu perkhidmatan ini memberikan apa-apa kesan buruk terhadap perkhidmatan komuter sedia ada di Kuala Lumpur.

"Ia penting kerana selain daripada aspek keselamatan, SPAD perlu memastikan pengguna komuter yang ramai di Kuala Lumpur akan terus menikmati perkhidmatan yang baik dan boleh dipercayai apabila Komuter Utara dimulakan," katanya menerusi e-mel kepada Bernama di sini, Rabu.

Pada Ahad lepas, satu imej yang dikatakan sebagai peta laluan KTM Komuter Utara tersebar di laman media sosial yang menunjukkan laluan kereta api menghubungkan Gurun (Kedah) ke Butterworth (Pulau Pinang) dan Kamunting (Perak).

Imej tersebut dimuat naik dalam laman Facebook yang dikenali sebagai 'RailTravel Station' dan menunjukkan 11 stesen dalam pelan laluan tersebut termasuk Sungai Petani, Bukit Mertajam dan Bagan Serai.

Menurut RailTravel Station, peta laluan itu dapat dilihat dalam beberapa tren KTM Komuter yang sedang beroperasi di Lembah Klang.

Susulan itu, Pengerusi KTMB, Datuk Nawawi Ahmad yang dipetik oleh sebuah akhbar, mengakui perkhidmatan Komuter Utara KTMB belum boleh beroperasi kerana tidak mendapatkan kelulusan SPAD. 

Beliau bagaimanapun menjangkakan perkhidmatan itu akan dibenarkan beroperasi seawal bulan depan. 

Cadangan Komuter Utara KTMB melibatkan terminal dan stesen perantaraan Gurun, Sungai Petani, Tasik Gelugur, Bukit Mertajam, Bukit Tengah, Butterworth, Simpang Ampat, Nibong Tebal, Parit Buntar, Bagan Serai dan Kamunting.

Komuter, SPAD, Syed Hamid Albar

Artikel Berikut

Artikel Lain