suria

Tema Hari Kebangsaan: Lim Perlu Minta Maaf - Chang Yeow

GEORGE TOWN: Ketua Menteri Lim Guan Eng harus memohonmaaf kerana mencetuskan perbalahan antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan berhubung dengan tema Hari Kebangsaan 2015, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Teng Chang Yeow.

Beliau berkata  Lim telah memperdayakan orang ramai untuk mempercayai bahawa tema sambutan ialah "Bersih, Cekap, Amanah" sedangkan apa sebenarnya yang diumumkannya sebelum ini ialah "Bersih". 

"Beliau cuba menimbulkan tanggapan bahawa kerajaan Persekutuan yang bermain politik sedangkan sebenarnya beliau yang berbuat demikian. 

"Sebuah akhbar vernakular menyebut tarikh yang diumumkan oleh ketua menteri mengenai 'Bersih' sebagai tema. Jadi, ia tidak keterlaluan untuk meminta supaya beliau memohon maaf. Beliau harus menjadi seorang pemimpin seperti negarawan dan bukan pemimpin penjaja jalanan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari Isnin.  

Bagaimanapun, Teng mengalu-alukan langkah kerajaan negeri yang  memutuskan untuk menggunakan tema Hari Kebangsaan yang sama seperti kerajaan Persekutuan iaitu 'Sehati Sejiwa".

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata semua masalah ini tidak akan timbul jika kerajaan negeri menggunakan tema yang dipersetujui di peringkat persekutuan iaitu "Sehati Sejiwa".

Beliau berkata keputusan awal kerajaan DAP Pulau Pinang untuk menggunakan tema "Bersih" bagi sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri adalah berniat jahat dan berbaur politik murahan.

"Sejak 2010, setiap tahun kerajaan negeri Pulau Pinang menunjukkan sikap tidak mahu sehaluan dan bersama kerajaan persekutuan dalam menyambut hari ulang tahun kemerdekaan negara dengan memilih untuk menggunakan tema yang berbeza dengan tema sambutan yang dipersetujui di peringkat persekutuan.

"Perubahan kepada tema "Bersih, Cekap dan Amanah" dibuat hanya setelah tema awal kerajaan negeri dikritik hebat oleh beberapa pihak," katanya dalam kenyataan.

Zainal Abidin berkata kerajaan negeri seharusnya menumpukan perhatian dalam memupuk semangat cintakan negara dan perpaduan dalam kalangan rakyat dan bukannya sentiasa berpolitik mengapi-apikan perbalahan dengan kerajaan persekutuan yang akan merugikan rakyat Pulau Pinang.-Bernama

Lim Guan Eng, Teng Chang Yeow

Artikel Lain