suria

Polis Tahan Tiga Lelaki, Rampas Pistol & Dadah

Gambar hiasan.

SEREMBAN: Polis menahan tiga lelaki berusia antara 33 tahun dan 46 tahun dan merampas pelbagai jenis dadah serta sepucuk pistol jenis automatik dalam serbuan ke atas sebuah rumah di sini Jumaat lepas.

Polis turut merampas satu magazin peluru, sepasang gari, 72 butir peluru hidup dan dua kelongsong.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan SAC T. Narenasagaran berkata dalam serbuan itu, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan menemui dadah dipercayai syabu yang dianggarkan seberat 1,190 gram, heroin (455 gram), ketamin (100 gram), candu (35 gram) dan pil kuda (89 biji dianggarkan seberat 9.5 gram)

"Kita turut menyita tiga buah kereta mewah iaitu Toyota Estima, Toyota Picnic, Mercedes-Benz dan sebuah motosikal milik ketiga-tiga suspek bernilai RM252,500. Ketiga-tiga suspek yang mempunyai rekod lampau dadah dan jenayah kini ditahan reman selama tujuh hari. Ujian saringan awal ke atas ketiga-tiga suspek mendapati mereka positif dadah syabu," katanya dalam sidang media di sini, Isnin.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati bekalan dadah yang dirampas diperoleh dari kawasan Kuala Lumpur dan untuk diedarkan di Johor, manakala Negeri Sembilan hanya dijadikan tempat transit.

Sementara itu, Narenasagaran berkata pada hari yang sama, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Nilai menangkap seorang lelaki berumur 52 tahun dan merampas 275 gram dadah dipercayai heroin.

Katanya pada hari itu juga, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Jempol turut menangkap seorang lelaki berumur 36 tahun dan merampas dadah dipercayai heroin seberat 25 gram, ganja seberat 1.1 gram dan syabu seberat 0.22 gram.

"Nilai pasaran kesemua dadah yang dirampas berjumlah kira-kira RM390,000. Ketiga-tiga kes ini ditangkap pada musim perayaan dan ini menunjukkan komitmen yang tinggi dalam kalangan pegawai dan anggota JSJN yang tidak alpa dengan tugasan harian walaupun masih dalam suasana sambutan Aidilfitri.

"Tindakan ini menunjukkan JSJN Negeri Sembilan akan terus mengambil langkah yang lebih drastik untuk menangani masalah dadah di negeri ini," katanya.


pistol, dadah, rampasan, PDRM

Artikel Lain