suria

Pas Tidak Terikat Kepada DAP Dan PKR - Haron Din

GOMBAK: PAS tidak terikat dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) khususnya dalam membuat keputusan tertentu berikutan kerjasama mereka dalam pakatan pembangkang adalah bersifat sementara.

Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din berkata, parti Islam itu mempunyai hak untuk mengabaikan dua sekutunya termasuk dalam mencapai hasrat melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993.

"Hukum tahaluf (kerjasama) ini kadang-kadang harus, kadang-kadang tidak harus, kadang-kadang harus sekejap dan kadang-kadang tidak diharuskan pula.

"Keharusan ini tidak mutlak dan tidak selama-lamanya. Ia bergantung kepada keadaan yang berlaku," katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Muktamar Tahunan Dewan Ulama PAS Pusat ke-54 di Dewan Datuk Fadzil Mohd Noor, Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) di sini, Rabu.

Mengulas lanjut Haron berkata tahaluf siyasi (kerjasama politik) antara PAS-DAP-PKR dibuat berlandaskan hukum syarak yang dibenarkan dalam Islam.

"Tahaluf yang berlaku sekarang ini ialah bukan janji atau ketaatan membuta tuli.

"Ada maslahah (manfaat) teruskan.. (Jika) tiada, paham-pahamlah," katanya sambil disambut laungan takbir perwakilan dan kumpulan pemerhati Dewan Ulama PAS.

Sehubungan itu Haron berkata, Majlis Syura Ulama PAS mempunyai kuasa untuk menentukan sama ada kerjasama politik antara parti itu dengan DAP dan PKR perlu diteruskan atau sebaliknya.

Tambah beliau, kerjasama berkenaan tertakluk kepada enam garis panduan yang dikemukakan Majlis Syura Ulama.

"Garis panduan paling penting ialah Majlis Syura ulama mempunyai kuasa membuat keputusan mengenai kesinambungan tahaluf siyasi ini berdasarkan kepada maslahah dari semasa ke semasa," katanya.

Sejak kebelakangan ini PAS berhadapan masalah dengan dua sekutunya dalam pakatan pembangkang termasuk berkaitan isu ‘langkah Kajang’, pertukaran Menteri Besar Selangor dan pelaksanaan hudud di Kelantan.

Lebih parah apabila DAP menyatakan pendirian memutuskan hubungan dengan Hadi namun menetapkan pendirian untuk terus bekerjasama dengan PAS.

PAS, DAP, PKR, Muktamar

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain