suria

Rasuah Pegawai SPRM, Pengusaha Balak Direman

IPOH: Seorang pengusaha syarikat pembalakan direman empat hari bermula Rabubagi membantu siasatan berhubung pemberian suapan berjumlah RM500,000 kepada seorang pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya tidak meneruskan siasatan terhadap aktiviti pembalakan.

Majistret Rahimah Rahim membenarkan lelaki berusia 36 tahun itu direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 17 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Menurut jurucakap SPRM, pihaknya menahan lelaki terbabit di sebuah restoran makanan segera di Meru di sini, pada pukul 11.30 pagi Selasa.

Lelaki itu disyaki memberi suapan kepada pegawai kanan SPRM supaya tidak meneruskan siasatan terhadap aktiviti pembalakan di luar kawasan yang dilesenkan di Hutan Simpan Temenggor, Gerik.

"Operasi ini dijalankan oleh pihak SPRM dan Jabatan Perhutanan. Lelaki terbabit didakwa menawarkan suapan sebanyak RM1 juta bagi mengelak siasatan diteruskan dan mengesan pembalakan di luar kawasan yang dihadkan.

"Lelaki terbabit dikatakan membayar suapan berupa wang tunai sebanyak RM500,000 kepada pegawai SPRM terbabit pada 7 April lepas," katanya.

Rasuah, SPRM, Mahkamah

Artikel Sebelum

Artikel Lain