suria

Jangan Berjuang Kerana Mahu Lawan Umno, Tapi Kerana Allah - PAS

SHAH ALAM: Perwakilan di Muktamar Pemuda PAS kali ke-56 diingatkan supaya membetulkan niat masing-masing agar tidak berjuang kerana Umno, Barisan Nasional (BN) atau Putrajaya.

Wakil dari Perak Syakirin Hussein berkata perjuangan menuju ke jalan Allah adalah perjuangan yang tulen dan asli, bukan setakat perjuangan menuju ke Putrajaya semata-mata.

"Jangan sesekali kita terlalu mudah menyatakan bahawa kita lawan kerana Umno, kita tentang kerana Umno, kita lawan GST kerana Umno.

"Islam tak ajar kita melawan kerana Umno, Islam ajar kita lawan kerana Allah," katanya ketika membahaskan ucaptama Ketua Pemuda di sini, Rabu.

Katanya, sekiranya perwakilan dan pimpinan sayangkan perjuangan PAS yang berlandaskan Islam, mereka perlu memelihara keaslian dan ketulenannya.

"Kita lawan Umno kerana Allah suruh, kita tentang Umno kerana Allah suruh kita tentang.

"Perjalanan ke Putrajaya adalah perjalanan dekat dan singkat. Tak ada guna kalau kita dapat ke Putrajaya tapi menyebabkan kita jauh dari syurga Allah," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memberi peringatan kepada perwakilan bahawa hubungan dengan Pakatan Rakyat bukanlah satu jaminan untuk PAS terus diterima ramai.

PAS, Umno, BN

Artikel Lain