suria

Tiga Maut Dalam Kemalangan Di Lebuhraya Utara-Selatan

JASIN:Tiga maut, dua daripadanya rentung, dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di KM 192.3 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara berhampiran Plaza Tol Ayer Keroh, awal pagi Selasa.

Ketua Polis Daerah Jasin DSP Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata ketiga-tiga mangsa, yang identiti mereka masih belum dikenal pasti, merupakan pemandu dan penumpang sebuah kereta Proton Saga, yang terbakar dalam kemalangan pada pukul
2.30 pagi itu.

"Siasatan awal mendapati kereta tersebut datang dari arah Johor Baharu menghala ke Kuala Lumpur yang dipercayai terbabas ke kiri jalan semasa tiba di lokasi kejadian.

"Pemandu dan seorang penumpang kenderaan terbabit rentung, manakala seorang lagi penumpang maut akibat tercampak keluar daripada kenderaan semasa kejadian," katanya ketika dihubungi Bernama di sini Selasa.

Beliau berkata sebuah kereta Perodua Myvi yang dinaiki tiga orang dari arah sama yang cuba mengelak kenderaan terbabit, telah terbalik, manakala sebuah lagi kenderaan pelbagai guna (MPV) Audi yang dinaiki tiga orang, juga gagal mengelak kereta Proton Saga itu, lalu melanggarnya.

Muhd Nur Hishamuddin berkata akibat perlanggaran itu, kereta Proton Saga dan MPV Audi berkenaan tercampak sejauh kira-kira 200 meter sebelum kedua-duanya terbakar.

Bagaimanapun keenam-enam individu yang menaiki kereta Perodua Myvi dan MPV Audi itu berjaya keluar menyelamatkan diri daripada kenderaan masing-masing.

"Enam mangsa itu mengalami cedera ringan dan dikejarkan masing-masing ke Hospital Melaka dan Hospital Jasin untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya.

Beliau berkata mayat ketiga-tiga mangsa kemalangan itu dihantar ke Hospital Jasin untuk bedah siasat, bagaimanapun polis mahu mengenal pasti identiti mangsa dan waris terlebih dahulu.  -- BERNAMA

Maut, Lebuhraya Utara-Selatan, Melaka

Artikel Lain