suria

Dr Mahathir Ragu Malaysia Capai Status Negara Maju 2020

KUALA LUMPUR: Pendapatan per kapita bukan ukuran sebenar status pembangunan negara, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Sebagai contoh, kita mesti mempunyai penduduk berpendidikan tinggi. Secara dasarnya harus 100 peratus," kata Dr Mahathir dalam ucapannya bertajuk 'Leadership in the Final Push Towards Vision 2020' semasa makan malam Kelab Wartawan Asing Malaysia (FCCM) di Hotel Istana, malam Isnin.

Bekas perdana menteri itu telah mengilhamkan Wawasan 2020 pada  1991 ketika  permulaan Rancangan Malaysia Keenam bertujuan menjadikan Malaysia sebuah negara maju pada tahun itu.

"Selain itu, industri yang dibangunkan seharusnya merupakan industri moden yang mencerminkan pengetahuan rakyat," jelas Dr Mahathir.

Beliau turut mengkritik dasar-dasar pentadbiran sekarang yang terlalu memberi fokus kepada pendapatan tinggi, sambil menambah bahawa menaikkan dasar gaji minimum akan membuat negara miskin.

"Bercakap tentang pendapatan tinggi, pendapatan tinggi, pendapatan tinggi. Tidak bercakap tentang produktiviti," katanya.

Dr Mahathir berkata, kepimpinan memainkan peranan penting dalam kemajuan sesebuah negara.

Tambah beliau, dalam tempoh masa lima tahun mencapai matlamat itu, kerajaan memerlukan usaha keras dalam mewujudkan masyarakat yang canggih, celik, kreatif dan produktif.

Bagaimanapun, beliau berkata, perkara itu masih diragui sama ada ia boleh dicapai atau sebaliknya.

Dr Mahathir, wawasan 2020

Artikel Lain