suria

Hampir Sejuta 'Serbu' Putrajaya & Serdang Julai Ini

KUALA LUMPUR: Hampir sejuta pengunjung disasarkan bakal membanjiri Expo Megaraya Putrajaya dan Karnival Megaraya 2015 di Maeps Serdang, Julai ini.

Expo berkenaan akan berlangsung pada 2 hingga 12 Julai, manakala karnival pula bermula 4 hingga 12 Julai.

Pengarah urusan Megaraya Event, Muhaimin Mohd Yusuff berkata, pihaknya menyasarkan kunjungan kira-kira 900,000 pelancong untuk expo dan karnival berkenaan.

"Kami mensasarkan akan menerima 600,000 pengunjung di expo Putrajaya yang menyediakan lebih 250 gerai jualan, manakala 300,000 pengunjung di karnival di Maeps Serdang akan dipenuhi lebih 230 gerai," katanya majlis pelancaran Expo Megaraya Putrajaya dan Karnival Megaraya 2015 Maeps Serdang di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) pada Isnin.

Selain itu, katanya, kedua-dua program berkenaan juga akan dimeriahkan dengan penyertaan artis tanah air membabitkan 30 gerai jualan.

Sementaran itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan), Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Rashidi Hasbullah berkata expo serta karnival yang akan diadakan ini merupakan program membeli-belah yang mampu menarik perhatian pelancong dari dalam dan luar negara.

"Malaysia merupakan antara negara yang terkenal dengan pusat membeli belah dan Kuala Lumpur diiktiraf sebagai pusat membeli-belah keempat terbaik di dunia.

"Jika dilihat sebelum ini,  segmen membeli belah telah menyumbangkan RM65.4 bilion atau 30.2 peratus kepada pendapatan negara jadi ianya memberi impak positif kepada ekonomi negara.

"Ini juga merupakan masa yang sesuai untuk melaksanakan program ini kerana pada masa yang sama pertengahan tahun ini juga merupakan musim 'mega sale'," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain