suria

Dr Wan Azizah Diumum Ketua Pembangkang

Dr Wan Azizah Wan Ismail kini sah sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh dan juga Ketua Pembangkang.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail disahkan sebagai Ketua Pembangkang yang baharu selepas mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh pada Isnin.

Pengumuman Dr Wan Azizah sebagai Ketua Pembangkang dibuat  Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Dr Wan Azizah sebelum ini pernah menjadi Ketua Pembangkang antara 2004 hingga 2008 sebelum melepaskan jawatan bagi memberi laluan kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Terdahulu Dr Wan Azizah tiba di Dewan Rakyat untuk mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen kira-kira pukul 9.35 pagi Isnin.

Hadir sama untuk mengangkat sumpah ialah Ahli Parlimen Rompin yang baharu, Datuk Hasan Arifin.

Kedua-dua wakil rakyat itu mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen di hadapan Pandikar Amin kira-kira pukul 10.05 pagi.

"Saya ucapkan tahniah kepada Ahi Parlimen Permatang Pauh dan Rompin. Saya harap ahli-ahli Yang Berhormat dapat beri sumbangan yang berfaedah kepada Dewan ini,” kata Pandikar di sini.

Menerusi PRK Permatang Pauh, Dr Wan Azizah yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) menang dalam saingan empat penjuru dengan majoriti 8,841 undi apabila memperoleh 30,310 undi.

Sementara itu Hasan, yang mewakili Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi Parlimen Rompin yang dimenangi parti itu sebelum ini dengan meraih majoriti 8,895 undi.

Hasan menang dalam saingan dua penjuru setelah mendapat 23,796 undi berbanding calon PAS Nazri Ahmad, 40, yang memperoleh 14,901 undi.




Artikel Lain