suria

Pukul Kerani Bank Guna Penyodok Tanah, Dua Lelaki Didenda RM2,500

KUALA LUMPUR: Dua lelaki masing-masing didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, Isnin kerana mencederakan seorang kerani bank menggunakan penyodok tanah Isnin lepas.

Majistret Nur Azura Murah menjatuhi hukuman itu terhadap Ahmad Nazri Harun, 42, seorang penganggur dan Muhamad Najib Ibrahim, 37, kerani di sebuah syarikat swasta, dan memerintahkan mereka dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda.

Mereka membayar denda tersebut.

Ahmad Nazri dan Muhamad Najib mengaku bersalah terhadap pertuduhan dengan sengaja mencederakan Muhamad Zulhisyam Mansor, 37, menggunakan penyodok tanah di sebuah kebun di tepi sungai, Kampung Bandar Dalam, Wangsa Maju di sini, pukul 9 malam, 11 Mei lepas.

Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda, atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu.

Menurut fakta kes, kedua-dua tertuduh menarik mangsa keluar dari rumah rakannya di Setapak di sini dan membawanya ke kebun itu menggunakan sebuah kereta.

Ketika berada di dalam kereta, tertuduh memukul dan mengikat kaki, tangan mangsa, juga mata ditutup dengan kain dan semasa di kebun itu, mangsa digantung pada sebatang pokok dengan kedudukan kaki di atas dan kepala di bawah.

Tertuduh sekali lagi memukul mangsa bertubi-tubi menggunakan penyodok tanah menyebabkan kecederaan di bahagian kepala, muka, belakang badan dan kaki kanan.

Ketika rayuan, Ahmad Nazri memberitahu mahkamah bahawa mereka memukul mangsa kerana dia bercakap kasar dan tertuduh juga memohon maaf atas perbuatan mereka kerana tidak mengetahui mangsa berkelakuan demikian kesan daripada pengambilan ubat penyakit kansernya.

Timbalan Pendakwa Raya Ezrene Zakariah mewakili pendakwaan.-- Bernama



Artikel Lain