suria

Penggunaan Ejen Antara Punca Lewat Pengeluaran Pas Pekerja

TAWAU: Antara punca kelewatan pengeluaran pas pekerja untuk warga asing di dalam sektor perladangan di sini ialah penggunaan orang tengah atau ejen di dalam permohonan yang dikemukakan syarikat berkenaan.

Ketua Pejabat Imigresen Tawau, Noraini Rasi berkata sekiranya sesebuah syarikat itu menyerahkan pengurusan pas kerja pekerjanya kepada ejen, maka majikan itu perlu merujuk perkara itu kepada pihaknya.    

"Ini kerana ada antara orang tengah yang mengambil kesempatan kepada syarikat atau pekerja demi mendapatkan keuntungan yang lebih besar," katanya.

Sehubungan itu, Noraini menggesa agar para majikan di daerah ini tidak bergantung sepenuhnya kepada ejen untuk menguruskan pas kerja, pekerja warga asing masing-masing.

"Saya minta majikan sendiri datang untuk menguruskan pas kerja pekerja asing masing-masing agar prosesnya boleh dilakukan dengan cepat tanpa berurusan dengan orang tengah," katanya. --

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Bernama bagi mengulas dakwaan bahawa kelewatan pengeluaran pas pekerja menjadi antara masalah utama dihadapi pekerja asing yang bekerja di beberapa ladang di daerah ini.

Presiden Dewan Perniagaan Tionghua Tawau, Lo Su Fui berkata disebabkan perkara itu pekerja asing di sini menghadapi pelbagai masalah untuk meneruskan pekerjaan mereka.

"Jika tidak mempunyai pas pekerja, mereka (warga asing) akan berdepan tindakan daripada pihak berkuasa...apabila pasukan keselamatan melakukan pemeriksaan di ladang-ladang ramai pekerja ditahan kerana tidak mempunyai paskerja," katanya kepada Bernama pada Ahad.

Sehubungan itu, Lo meminta pihak yang berkaitan untuk mempercepatkan proses pengeluaran pas pekerja kepada warga asing yang bekerja secara sah di daerah ini.

"Masalah ini perlu diselesaikan kerana ia secara tidak langsung merugikan para majikan yang mengambil pekerja warga asing. Pada masa yang sama masalah ini juga boleh menyebabkan majikan dituduh menggaji pekerja asing tanpa dokumen sah," katanya.

Lo berkata, kebanyakan syarikat perladangan di daerah ini sangat bergantung terhadap pekerja warga asing berikutan kerja dalam sektor perladangan kurang diminati pekerja tempatan.

"Para majikan sangat bergantung dengan pekerja warga asing. Oleh itu kita berharap pihak berkaitan dapat bekerjasama untuk menyelesaikan masalah kelewatan pengeluaran pas pekerja warga asing," katanya. 

pas pekerja, ejen

Artikel Lain