suria

Polis Di Sabah Bersiap Sedia Menjelang Himpunan 1 Mei

KOTA KINABALU: Polis berada dalam keadaan bersiap sedia untuk memastikan keadaan tenang dan selamat menjelang perhimpunan Bersih yang dirancang diadakan di Padang Merdeka di bandar ini pada Jumaat.

Trak polis dan juga anggota polis telah ditempatkan di sekitar kawasan tersebut sejak petang Khamis manakala penghadang telah diletakkan untuk menghalang orang ramai daripada memasuki kawasan padang.

Jurucakap penganjur perhimpunan itu, Jannie Lasimbang berkata penganjur menyedari keadaan itu tetapi nekad untuk meneruskan acara yang dirancang.

"Sudah tentu kita tidak akan melepasi penghadang, tetapi kita akan berdiri sedekat yang boleh dengan kawasan padang," katanya.

Lasimbang juga menggesa penunjuk perasaan agar tidak masuk ke dalam lima kawasan yang dilarang atau melepasi sebarang sekatan.

"Kami menjangkakan pihak berkuasa penguatkuasaan undang-undang profesional dalam menjalankan tugas mereka dan memudahkan perhimpunan aman ini," katanya.

Lasimbang berkata walaupun ada beberapa individu yang sebelum ini berjanji untuk menghadiri perhimpunan tersebut telah membuat keputusan untuk menarik diri, ramai yang masih akan hadir.

Pada Isnin, polis bandar mendapat perintah mahkamah, mengharamkan perhimpunan tersebut yang dijadual diadakan di Padang Merdeka.

Lima lokasi, iaitu Padang Merdeka, Taman Chong Tien Vun, City Park, Segama Waterfront dan Dataran Badaraya telah disenaraikan sebagai kawasan larangan bagi tempoh perintah mahkamah yang berakhir 3 Mei.

Artikel Berikut

Artikel Lain