suria

GTP: Peningkatan Taraf Hidup Catat Pencapaian 102 Peratus Menerusi 1Azam

KUALA LUMPUR: Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Mempertingkatkan Taraf Kehidupan Isi Rumah Berpendapatan Rendah ( LIH) mencatat kejayaan membanggakan kerana melebihi sasaran iaitu sebanyak 102 peratus tahun lepas.

Menurut Laporan Tahunan Program Transformasi Kerajaan (GTP) 2014, pencapaian itu tercapai menerusi program utama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat iaitu program Akhiri Zaman Miskin (1AZAM).

Laporan itu menyebut sebanyak tiga Petunjuk Prestasi Utama (KPI) daripada tujuh melepasi sasaran melebihi 100 peratus iaitu bilangan projek 1AZAM yang dijayakan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat korporat iaitu yang mencapai 128 peratus dengan 46 projek berbanding sasaran 36 projek.

"Kerajaan akur bahawa perjuangan membasmi kemiskinan tidak mungkin dijuarai menerusi usaha secara bersendirian justeru kerajaan telah mendapatkan bantuan rakan kongsi termasuk NGO dan syarikat korporat untuk membiayai dan menyokong program," kata laporan itu. 

KPI seterusnya yang menjangkaui sasaran 100 peratus ialah bilangan peserta yang lulus program 1AZAM berjaya memperoleh pinjaman mikro kredit iaitu sebanyak 555 peserta atau 111 peratus berbanding sasaran sebanyak 500 peserta.

Laporan itu menyebut KPI bagi bilangan peserta 1AZAM baharu yang dipantau dalam tempoh minimum enam bulan selepas pelaksanaan, mencapai 103 peratus iaitu 33,368 peserta berbanding sasaran 32,300 peserta.

Dua lagi KPI mencatatkan 100 peratus pencapaian iaitu bilangan Komuniti 1AZAM/Program Berasaskan Kumpulan mencapai sasaran penuh 100 peratus iaitu 77 kumpulan peserta 1AZAM dikemas kini dalam sistem e-Kasih. 

KPI bagi bilangan peserta 1AZAM sedia ada yang berjaya pula meningkatkan pendapatan sebanyak RM300 bagi mana-mana tiga bulan mencatat seramai 24,646 peserta atau 85 peratus berbanding sasaran 28,900.

Laporan itu berkata bagi menambah baik program 1AZAM, program Beyond 1AZAM mula dilaksanakan tahun ini yang direka khas untuk merangsangkan lagi tahap pendapatan peserta 1AZAM yang berjaya.

Beyond 1AZAM adalah bersifat selektif dan hanya akan mengambil peserta yangtelah berjaya meningkatkan tahap pendapatan dan memperlihatkan harapan yang cerah bagi pembangunan seterusnya.

Penanda aras Beyond 1AZAM bagi peserta ialah meningkatkan lagi pendapatan peserta sebanyak 50 peratus.

GTP, Peningkatan taraf hidup

Artikel Lain