suria

Felcra: Kawasan Baharu Dikenal Pasti Untuk Generasi Muda - Shafie

Shafie (kiri) bersalaman dengan penerima-penerima Bantuan Sara Hidup Peserta Projek Tanam Semula Felcra Berhad, Selasa. Turut hadir calon Barisan Nasional (BN) Datuk Hasan Arifin (empat dari kanan).

ROMPIN: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sedang mengenal pasti kawasan luar bandar yang sesuai di seluruh negara untuk membangunkan lebih banyak projek Felcra yang dapat disertai generasi muda.

Menterinya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, projek ini bertujuan menggalakkan golongan belia supaya bersama-sama membangunkan kawasan luar bandar selain melibatkan diri dalam perniagaan di luar bandar.

Beliau temui pemberita selepas menyampaikan bantuan sara hidup dan dividen peserta Projek Tanam Semula Felcra Berhad kawasan Anak Endau di Dewan Majlis Daerah Rompin di sini, Selasa.

Seramai 799 peserta Felcra kawasan terbabit menerima bantuan sara hidup sejumlah RM1.056 juta, termasuk projek tanam semula Sepayang, Anak Endau Tebing Kiri dan Pontian Tebing Tinggi yang terletak di kawasan Parlimen Rompin.

Shafie berkata bantuan sara hidup dan dividen itu diberi mengikut keluasan tanah yang dibangunkan peserta, yang diperuntukkan bagi menampung kos sara hidup peserta sementara menunggu projek mengeluarkan hasil, iaitu tanaman kelapa sawit selama empat tahun, dan getah selama enam tahun.

Program tanam semula di daerah Rompin yang dijalankan oleh Felcra Berhad meliputi kawasan seluas seluas 115 hektar melibatkan 85 peserta pada tahun lepas, dan seluas 19.1 hektar melibatkan 21 peserta pada tahun ini.

Menyentuh mengenai fokus kementerian dalam Rancangan Malaysia ke-11 yang akan dibentangkan di Parlimen pada bulan depan, Mohd Shafie berkata antaranya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada generasi kedua Felcra di luar bandar.

Selain itu, katanya, tumpuan akan turut diberi kepada pembangunan wilayah melalui Felcra dan Kemajuan Pekerja Kecil Perusahaan Getah (Risda).

Mohd Shafie berkata, komponen pembangunan insan, khususnya di kalangan generasi muda, akan diberi penekanan termasuk melatih anak luar bandar dalam bidang latihan dan vokasional.

Masyarakat luar bandar akan dilibatkan dalam sektor ekonomi seperti peruncitan, pelancongan, inap desa dan tanaman fertigasi cili yang mampu memberi pulangan yang baik, katanya. 

 

Artikel Lain