suria

MH370: MAS Tutup Pusat Sokongan Di China, Terus Bantu Waris

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines meneruskan komitmennya untuk membantu waris terdekat penumpang MH370 walaupun telah menutup Pusat Komunikasi dan Sokongan Keluarga MH370 di Beijing dan enam wilayah lain di China pada hari Isnin.

"Seperti yang telah dimaklumkan kepada anggota keluarga, Malaysia Airlines akan terus menyampaikan maklumat dan mengekalkan komunikasi dengan waris melalui beberapa platform," kata syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut MAS, ia telah menyediakan talian hotline dan alamat e-mel untuk waris menghubungi Malaysia Airlines bagi pertanyaan untuk perkara am dan gantirugi.

Laman rasmi MH370 di URL http://www.mh370.gov.my juga menyediakan perkembangan terkini.

Malaysia Airlines akan terus meneroka peluang yang ada untuk mendekati keluarga penumpang, katanya.

Pesawat MH370 yang menuju ke Beijing, dengan seramai 239 orang (227 penumpang dan 12 anak kapal) berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada jam 12:42 am, 8 Mac, 2014.

Kurang daripada 40 minit selepas berlepas, pengawal trafik udara hilang hubungan dengan pesawat itu, selepas ia melepasi titik laluan IGARI.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain