suria

Suspek Kes Bunuh Ditahan Bersama 150 Butir Peluru

BESUT: Seorang suspek utama yang dikehendaki berhubung kes bunuh di Kelantan dua tahun lalu ditahan awal pagi Sabtu beserta 150 butir peluru.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata, lelaki berusia 31 tahun itu ditahan kira-kira pukul 5.30 pagi di Kampung Amir di sini.

Beliau berkata, suspek cuba malarikan diri dengan keretanya ketika dua anggota polis MPV sedang menjalankan tugas rondaan di Jabi, Jerteh.

"Sebaik anggota kita menghampiri kereta tersebut dan meminta pemandunya  mengemukakan kad pengenalan diri, suspek terus bertindak memecut keretanya," katanya.

Suspek yang berasal dari Besut bagaimanpun ditahan selepas itu.Wan Abd Aziz berkata hasil pemeriksaan ke atas kereta suspek, pihaknya menemui 150 butir peluru hidup yang diisi dalam tiga kotak peluru, sebilah kapak kecil dan pisau.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas 20 biji pil disyaki dadah, peralatan menghisap dadah, pasport antarabangsa serta wang tunai kira-kira RM900.

Suspek merupakan suspek utama dalam kejadian bunuh pada tahun 2013 yang membabitkan kematian seorang mangsa di Kampung Gong Mengkeleh, Jalan Pasir Puteh, Kelantan.

Wan Abd Aziz berkata suspek direman untuk disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata 1960, Seksyen 7 Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.-- Bernama 


Artikel Lain