suria

Pos Malaysia Keluar Setem Tumbuhan Berkhasiat Siri Ketiga Selasa Ini

Antara koleksi setem bertemakan tumbuhan berkhasiat yang akan mula dijual Selasa ini.
KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Berhad akan mengeluarkan koleksi siri ketiga setem dan filateli bertemakan tumbuhan berkhasiat untuk keluaran pertama pada tahun ini.

Koleksi tersebut akan dijual kepada orang ramai bermula Selasa ini di semua cawangan pejabat pos seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata koleksi tersebut menampilkan empat jenis tumbuhan berkhasiat, iaitu Misai Kucing (Orthosiphon stamineus Benth), Hempedu Bumi (Andrographis paniculata), Roselle (Hibiscus sabdariffa L.) dan Belalai Gajah (Clinacanthus Nutans). 

Katanya, keluaran koleksi tersebut bertujuan untuk mewujudkan kesedaran di kalangan orang ramai mengenai pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan tempatan yang mempunyai khasiat tertentu.

Beliau berkata ia juga dilihat sebagai batu loncatan untuk mempelajari sesuatu kerana terdapat banyak maklumat mengenai setiap tema setem yang dikeluarkan.

"Ini adalah kali ketiga Pos Malaysia mengeluarkan siri setem bertemakan tumbuhan berkhasiat dan berharap melalui keluaran ini kami dapat memperkenalkan keunikan tumbuh-tumbuhan ini. Kami berharap orang ramai akan mengambil peluang untuk mendapatkan koleksi terbaru ini dari cawangan Pos Malaysia yang berdekatan," katanya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, setem berukuran 30mm x 40mm tersebut dicetak secara eksklusif menggunakan Kertas Tera Air SPM , Bersalut Fosfor. 

"Setem-setem tersebut boleh didapati dalam tiga denominasi iaitu RM0.60 (Misai Kucing), RM0.70 (Roselle) dan RM0.80 (Hempedu Bumi) setiap satu," katanya.

Iskandar berkata, bagi lembaran mini bersaiz 100mm x 70mm yang menampilkan tumbuhan Belali Gajah berserta setem berukuran 30mm x 40mm boleh didapati pada harga RM3.00 setiap satu.

"Sampul Surat Hari Pertama juga boleh didapati pada hari pertama keluaran dengan harga RM0.50 sekeping atau RM2.60 bersama satu set setem manakala set lengkap dijual dengan harga RM57.10," katanya.

Selain itu, beliau berkata, pelanggan juga boleh menikmati kemudahan dalam talian menerusi 'Philately Online' di www.posonline.com.my untuk membuka akaun SODA, menambah nilai dan memeriksa baki akaun SODA, serta mengemas kini butir peribadi tanpa perlu beratur di kaunter pos semasa hari keluaran.

Untuk rekod, siri pertama dan kedua koleksi setem dan filateli bertemakan tumbuhan berkhasiat pernah dikeluarkan pada tahun 1998 dan 2004.

Pos Malaysia Berhad, setem

Artikel Lain